Sistem lelong ikan berkomputer atasi masalah orang tengah
Juruteknik Pengoperasian Data, Mohd. Fandy Dollah (kanan) memasukkan data hasil tangkapan nelayan untuk dipamerkan di skrin khas bagi peraih berdaftar membida harga yang dipersetujui bersama nelayan di pelantar ikan LKIM Tanjong Dawai, Kuala Muda, semalam.
SUNGAI PETANI 4 Nov. - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengorak langkah sejajar dengan perkembangan dunia teknologi maklumat apabila memperkenalkan sistem lelongan hasil laut secara berkomputer di pusat pendaratan ikan Tanjung Dawai, dekat sini.
Pengarah LKIM Kedah, Mohamad Nor Had berkata, sistem yang dilaksanakan sejak tahun lalu itu berjaya mengatasi masalah penindasan harga oleh golongan orang tengah terhadap hasil tangkapan laut nelayan.
Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) Tanjung Dawai merupakan pusat pendaratan ikan pertama di negara ini yang melaksanakan sistem berkenaan.
Menurut beliau, pelaksanaan sistem canggih yang dibangunkan LKIM tersebut turut membantu menangani masalah harga ikan melambung di pasaran.
''Melalui sistem ini, para pembida atau peraih akan mengadakan rundingan harga terus dengan nelayan melalui sistem komputer.
''Harga hasil tangkapan laut akan dipaparkan pada skrin komputer dan selepas dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak, proses urus niaga akan berjalan.
''Sistem ini sangat menguntungkan semua pihak sama ada di kalangan nelayan, pemborong dan juga pembeli. Lebih menarik, khidmat orang tengah yang sebelum ini memonopoli harga ikan di pasaran dapat dihapuskan sama sekali," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengurus Besar PNK Tanjung Dawai, Ahmad Mohd. Jaeh memberitahu, setiap pemborong atau pembida ikan dikehendaki mendaftar dengan LKIM untuk tujuan proses dan rekod.
''Mereka akan diberikan satu nombor pengenalan diri (ID). Apabila proses lelongan berlangsung, mereka hanya perlu sebutkan nombor terbabit kepada kerani data untuk dimasukkan ke dalam sistem.
''Selepas itu, sistem akan memproses segala invois jualan dan kakitangan kita kemudiannya mengeluarkan bayaran terus secara tunai kepada nelayan," katanya.
Telus
Katanya, sistem tersebut dianggap sangat telus dan tiada lagi unsur penipuan harga seperti yang diamalkan orang tengah sebelum ini.
''Khidmat ini disediakan secara percuma kepada nelayan. Kita tidak mengenakan sebarang bayaran kepada mereka dan mereka akan dapat semua hasil seperti mana harga jualan yang telah dipersetujui," jelasnya.
Bagaimanapun, menurut Ahmad, semua kos pengurusan dan lelongan akan ditanggung oleh pemborong serta pembida yang menggunakan sistem terbabit.
''Mereka akan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak lima peratus daripada hasil belian," ujarnya.
Katanya, sejak diperkenalkan pada pertengahan tahun lalu, PNK Tanjung Dawai mempunyai 415 pemborong, 80 nelayan pukat hanyut serta 70 nelayan pukat tunda berdaftar.
''Jumlah ikan atau hasil laut yang dilelong adalah sekitar 13 hingga 15 tan metrik," katanya.
Tambah Ahmad, sistem itu juga membolehkan LKIM memantau harga semasa hasil tangkapan laut dan boleh mengambil tindakan susulan bagi mengelakkan berlakunya masalah peningkatan harga secara mendadak sehingga boleh menyusahkan pengguna.
sumber dari =>